Tuesday, November 4, 2008

Luv Ur Teacher No Matter What....Thank u teacher for making me who I am now...

Hari ini hari guru. Siti sangat gembira. Dia pasti menjadi antara murid yang akan menghadiahkan sesuatu yang berharga kepada seorang guru yang disayanginya. Hari yang ditunggu telah tiba. Perhimpunan pada hari isnin tidak pernah dilupakan oleh seorang murid yang normal. Lumrahnya, murid amat suka kepada perhimpunan di sekolah kerana dapat menyanyi dan melihat guru-gurunya berdiri dihadapan.

”Assalamualaikum warahmatullah dan selamat sejahtera!” cikgu Nora memulakan ucapan selaku pengerusi kelab guru.

”Waalaikumussalam dan selamat sejahtera, cikgu”. Murid amat suka irama tersebut. Cikgu amat memahaminya. Tidak pernah lagi jawapan persis tentera yang diucapkan oleh murid-murid. Irama tersebut seolah-olah memberi isyarat betapa manjanya dan sayangnya mereka pada guru.

”Baiklah, cikgu akan mencabut undi, nama murid yang tertera diatas kertas tersebut dipersilakan memberi ucapan kepada guru kesayangannya, dan kami akan meneka nama guru tersebut. Kemudian, barulah murid tersebut memberikan hadiah tersebut!”. Kata-kata Cikgu Nora khusyuk didengari murid memandangkan murid tidak sabar lagi menampilkan hadiah masing-masing.

”Jika hadiah tersebut sangat besar, kita beri masa kepada murid tersebut mengambilnya di kelas”. Cikgu Nora menambah seolah-olah mengharapkan hadiah yang besar.

Murid-murid menepuk tangan kegembiraan. Tepukan dan seorang murid tidak boleh dipisahkan lagi.

Siti hanya menekup mukanya sambil merenung lantai. Dilihatnya murid-murid dengan hadiah masing-masing. Paling besar ialah hadiah si Peter. Dibalut kemas dengan corak-corak kereta lumba. Paras paha jika seorang murid darjah satu berdiri.

”Kalau hadiahnya kecil, cikgu?” jerit Aminah, 2 Futuristik.

Murid serentak tergelak. Cikgu Nora juga menampakkan giginya yang sederhana putih.

”Ya, ya, cikgu terima juga”. Cikgu Nora tergelak sambil memandang guru-gurunya yang lain. Penolong Kanan tersenyum sambil mencari-cari seorang lagi pendidik yang belum sampai.

”Kita persilakan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Cikgu Sarah bagi mencabut kertas undian. Murid-murid boleh duduk”. Murid-murid tidak sabar mendengar nama mereka disebut.

”Pastinya bukan aku, sebab aku tidak hadir memberi nama kepada guru kelas” ujar Siti merendah diri.

”Dari kelas 5 Bestari, Wan Nur Faezah!!!”

Bersorak murid sambil memberi tepukan gemuruh. Mereka memandang kiri dan kanan mencari kelibat Wan Nur Faezah. Anak saudara ustaz Usamah.

”Tidak hadir, cikgu!” jerit murid kelas 5 Bestari.

Pelik. Wan Faezah murid kesayangan sekolah. Di dalam sebulan, tiada tanda kosong di dalam buku kehadiran melainkan jika ada surat klinik atau hospital. Mungkin hari ini Wan Nur Faezah sakit.

”Oleh kerana rakan kamu tidak hadir, kita minta jasa baik PK HEM sekali lagi mencabut kertas undian!” jelas Cikgu Nora.

”Yeh, yeh” jerit murid sambil bertepuk tangan.

”Kelas 3 Ikhlas, Siti binti Hasan!”

Murid-murid menjerit bagai dilanda histeria satu kampung.

”Siti! Siti!” jerit Mastura membangunkan Siti yang tertidur.

”Siti hadir?” tegasnya Cikgu Nora.

”Dia tidur, cikgu!!” jerit Gareson, pengawas tahun 6 yang suka menyakat murid-murid tahap satu.

Guru-guru tergelak. Siti terpinga-pinga. Hadiahnya terjatuh. Kecil. Dimasukkan semula ke dalam poket. Murid-murid 3 Amanah ketawa melihat telatah Siti. Ada yang cemburu kerana hadiah-hadiah besar tidak dapat dipersembahkan pada perhimpunan tahun ini.

”Ok, dipersilakan adik Siti memberi ucapan ringkas. Jangan lupa, tidak perlu menyebut nama guru. Nanti kami teka ya” Cikgu Nora tak serik mengingatkan. Maklumlah, murid tahap satu bagi mereka adalah golongan pelupa. Tetapi, ada yang faham tahap satu adalah permulaan peringkat pengukuhan murid untuk masa hadapan.

”Assalamualaikum..” Siti memulakan ucapan. Dia tidak percaya dia berdiri dihadapan 1250 murid. Dibelakangnya, guru-guru yang disayanginya. Dia memandang guru yang bakal diceritakan ringkas.

Murid-murid diam. Cuba melihat telatah Siti dan hadiahnya. Ada yang menarik baju kawan sebelah. Begitulah rutin seorang murid. Ada yang beri perhatian lebih sehingga ternganga mulutnya. Ada yang terlalu lemah dengan perhimpunan hingga terhuyung hayang kerana tanpa sarapan. 1001 karenah murid mesti dilayan guru.

”Guru saya adalah seorang lelaki” Siti memulakan ucapan.

Guru-guru perempuan memandang rakan masing-masing. Kecewa. Ada yang tersenyum. Itulah guru-guru lelaki.

”Saya sebenarnya tidak ada hadiah untuk cikgu tersebut pada hari ini” Siti bermuhasabah.

”Ah?” murid kehairanan. Pelik benar murid yang berada dihadapan mereka.

”Tapi, saya sempat balutkan sesuatu yang berharga untuk guru. Hadiahnya kecil. Semua orang mampu beli. Tapi, saya sangat suka barang ini. Ianya hadiah dari ibu saya yang sedang sakit” Siti menunduk.

Murid perempuan lebih mendengar dari murid lelaki. Mereka mungkin lebih faham walaupun mereka masih dianggap kebudak-budakan.

”Saya selalu tanya mak di dalam wad apa yang perlu saya beri hadiah kepada cikgu. Mak saya kata, berikan apa sahaja yang berharga walaupun kecil. Ya. Saya juga jumpa seorang guru dan tanya apa yang dia suka. Guru tu sebut dia tak perlu hadiah. Dia kata dia sudah cukup ada murid seperti saya”

Cikgu Nora tidak memotong ucapan Siti. Baginya ada perkara yang perlu dipelajari oleh murid-muridnya. Bahkan guru-gurunya.

”Saya sudah berikan hadiah tersebut lebih awal. Yang ada pada poket saya adalah balutan yang diberikan semula oleh guru saya. Tapi, dia ambil hadiah saya yang kecil. Kata guru, saya tidak boleh balut guna kertas buku. Katanya, buku latihan sangat mahal. Sebenarnya hadiah saya ialah pensel warna putih!” Siti malu menyebut. Baginya satu keaiban kepada dirinya tetapi dikuatkan semangat jua untuk menyatakannya.

Ada yang tergelak. Ada yang menangis. Ada yang tidak mengerti cerita di perhimpunan. Ada yang masih menarik baju kawannya.

”Saya ada pensel warna tapi berkongsi dengan abang dan kakak. Semuanya pendek-pendek kecuali warna putih. Saya tanya ustaz, ada orang kata pensel kontot maksudnya emak kita pendek umur, tapi ustaz kata itu tipu. Sebab mana ada pensel yang jadi panjang! Dan kalau pensel warna semuanya kontot-kontot pasti sudah lama emak meninggalkan saya, kata ustaz. Saya suka jawapan ustaz dan saya beritahu emak akan sembuh! Dan pensel warna putih sentiasa di dalam poket saya setiap hari dan masih panjang!”

Terdengar esakan murid perempuan tahap dua di sudut sebelah kiri perhimpunan. Siti masih selamba. Boleh bercerita dengan baik walaupun dia murid di dalam senarai 5 tercorot di dalam kelas 3 Ikhlas.

”Ok, guru yang saya sebut tadi ialah…”

”Jangan sebut namanya!” tegas Cikgu Nora

”… tiada hari ini!” Siti menambah.

Guru-guru memandang kehairanan. Ya. Orang tersebut ialah Ustaz Usamah yang tidak hadir. Guru tersebut sudah boleh mencongak soalan Siti dengan mudah .

”Terima kasih pada Siti. Kamu semua sudah dengar kan?” jelas Cikgu Nora. Sedikit kecewa tergambar pada wajahnya kerana ketiadaan Ustaz Usamah pada hari yang penuh bersejarah bagi seorang guru.

Cikgu Sarah membisikkan sesuatu di telinga Cikgu Nora. Beliau bergegas ke luar perhimpunan dan sempat menoleh kepada Sakinah.

”Ok murid-murid. Sila beri perhatian. Ada berita kurang baik. Cikgu Sarah dan Cikgu akan pergi ke wad kecemasan sekarang. Ustaz Usamah dan Wan Faezah terbabit dalam kemalangan pagi tadi. Minta murid-murid semua berdoa..” ada titisan jernih jatuh ke pipi.

Makin kuat kedengaran esakan murid. Kali ini, esakan tersebut memenuhi setiap sudut. Ada yang terbangun dari tidur. Pelik bagi mereka.

Siti tersungkur selepas turun dari tangga pentas. Kali ini dia meratap. ”ustaz, Siti sayang ustazzz…!”. Siti tidak dapat menahan lagi. Air matanya deras bercucuran. Matanya semakin merah. ”Cikgu, saya nak ikut. Nak jumpa ustaz!!”.

Tiada lagi ucapan tambahan pada perhimpunan. Perhimpunan terpaksa bersurai atas sebab-sebab peristiwa yang berlaku pada Ustaz Usamah dan anak saudaranya. Siti dibawa oleh PK HEM dan Cikgu Nora ke hospital. Guru Disiplin mengatur pengawasnya untuk menjaga ketenteraman dan kawalan murid di kelas semasa ketiadaan guru.

Ustaz Usamah dan anak saudara sudah menemui Allah Ta’ala. Siti hanya sempat merenungnya dengan badan yang terkujur kaku dan layu. Ada cahaya tergambar pada wajah ustaz Usamah yang tidak pernah serik membimbingkan khususnya pelajaran Asuhan Tilawah AlQuran.

Doktor Azman mencelah ”Barang-barang ini kami temui pada poket seluar guru tersebut”.

Pensil berwarna putih .Ada pendrive 4GB. Ada jadual kelas. Ada PENSEL WARNA PUTIH. Siti menjerit memeluk Cikgu Sarah. Dia tidak dapat menerima kenyataan guru kesayangan tidak lagi bernyawa.

Ada satu kertas keras di balut rapi tertera ”AKU AKAN SAYANGKAN MURIDKU WALAUPUN MEREKA LEMAH. INILAH IKRAR KU SEHARI-HARI SEMASA AKU MEMIJAK SEMPADAN PAGAR SEKOLAH.”

Guru-guru semakin ramai di dalam wad 16. Esakan kali ini datangnya dari guru-guru, rakan-rakan ustaz Usamah. Mereka sebenarnya mengkagumi kesungguhan ustaz Usamah. Kata-kata ikrar ustaz dibacakan pada perhimpunan minggu hadapan. Kata-katanya dijadikan azimat dan menjadi semangat pada guru-guru lain.


Cerpen dari seorang yg bergelar guru...

3 comments:

Ariff Budiman said...

sungguh menyayat hati..t'sentuh bila membaca..tapi alangkah bahaigianya akue bila aku dilayan seperti seorang murid yang bija..Lecturer aku juga berkata kepada students dia..Kalau result kmu x elok mcm mana lecturer kamu nak kayan kamu dengan baik..padahal aku telah berusaha bermati - matian demi memperbaiki keputusanku..Tapi,hanya Allah sahaja yang berkuasa dan merancang segala2nya..Wallahualam..

Ariff Budiman said...

bukan ayah aku yang komen taw...nie,aku nirah yg komen.malaih nak bukak blog aku.

scr said...

waaaaaaaa....nirah...ades...aku taw ang rasa sedih n bengkek bila lecturer kata camtuh kat student...sepatutnya tugas guru sebagai pendidik yg mendidik supaya terdidik...take it as a motivation k..insyaALLAH i'll pray for ur success...journey of a thousand miles begin with the 1st step...masih terlalu awl untuk mengaku kalah k...dont stop n never give up hope..